Thursday, 26 May 2011

Tirai Wacana Dimula




Assalamualaikum sahabat sekalian,

Segala puji syukur kehadrat Ilahi kerana masih memberi saya umur dan kesihatan dalam keadaan yang Alhamdulillah baik. Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat yang tidak putus memberi sokongan kepada saya untuk berkecimpung dalam aliran seni penulisan kreatif.

Sedikit cetusan kepada pembaca, minat seni penulisan kreatif ini sudah lama terbit dalam diri saya. Seingat saya, pada tahun 1998, ketika saya di bangku sekolah rendah lagi. Darjah 4 adalah titik permulaan kepada penglibatan saya secara tersembunyi. Seingat saya juga, pada ketika itu mata pelajaran bahasa melayu. Cikgu mendeklamasikan serangkap syair untuk pelajar.

Selepas selesai, cikgu bertanya, siapa ingin mendeklamasikan syair seperti yang telah cikgu perdengarkan. Tiada seorang pun menyahut, secara rambang, maka terpanggillah nama saya. Dari situlah permulaan bagi segala-galanya. Segala idea penulisan saya buku kan. Tetapi sangat malang rasa diri, buku tersebut hilang entah kemana.

Pada tahun 2004, saya mula aktif secara tersembunyi. Menyorokkan bakat terpendam kerana segan akan ditertawakan rakan. Saya mula menulis didalam sebuah buku dan sekali lagi buku tersebut hilang. Sejak dari itu saya banyak hasilkan karya dan ditaip pada telefon bimbit. Karya yang paling saya suka adalah 'Jasamu Dikenang'. Itu adalah karya pada tahun 2005. Mengisahkan jasa seorang cikgu. Dari sebuah sajak, saya lagukan.

Pada tahun 2007, 2008 dan 2009 saya aktif membuat pantun 'spontan' pada tiap-tiap bulan Ramadhan. Saya buat dan hantarkan kepada insan yang paling saya sayang pada ketika itu dan pada ketika ini. Alhamdulillah, Dikurniakan idea pada ketika itu. 2011 adalah tahun permulaan untuk saya menggiatkan seni penulisan kreatif saya. Semoga perjalanan bagi permulaan ini disokong oleh kalian sahabat.

Sedikit celoteh dan rentetan peristiwa kepada perjalanan permulaan saya dalam bidang yang lama saya ketahui tetapi baru kini merasa sangat beruntung dianugerahi bakat yang jarang ada pada kalian generasi baru seperti saya. Alhamdulillah, saya disini ingin belajar daripada kalian yang jauh lebih kedepan dalam bidang ini.

Sila berikan tunjuk ajar serta pertukaran idea, kritikan membina amatlah saya harapkan dari sahabat sekalian. Akhir kata untuk sesi kali ini, teruskan menyokong WARISAN SENI PENULISAN KREATIF agar tidak pupus dimamah usia. Ingatlah sahabat sekalian, SENI ini tiada tarikh luput. Jika generasi muda tidak pertahankan, siapa lagi yang mahu bertanggungjawab atas amanat ini? Fikirkanlah wahai anak muda.

Akhir kata, Assalamualaikum w.b.t.

No comments:

Post a Comment